p/s ; semoga cerita yang saya kongsikan ini memberi manfaat dan kebaikan kepada kita semua...minta masa sekejap untuk baca sampai habis taw...syukran dan semoga ALLAH S.W.T redaha...n_n
Saya benar-benar tersentuh. Air mata hampir menitis. Kata-katanya singkat , namun padat dan menyentuh. Tuan Azizul(begitulah panggilan saya kepadanya) bercerita seadanya. Perlahan, seakan-akan berbual ringan.
"Cuba ceritakan apa keistimewaan ibu Tuan Azizul?"
"Semua ibu istimewa'
Tapi saya ingin dengar kisah ibu Tuan Azizul. Ya, semua ibu istimewa, tetapi keistimewaan seorang ibu dengan yang lain pasti tidak sama. Apa keistimewaan ibu Tuan Azizul?" pinta saya seakan merayu.
"Saya teringat...." Tuan Azizul mula bercerita, "Satu hari semasa ibu sangat uzur dia ingin turun tangga melihat halaman rumah. Sakitnya kian berat. Badannya lemah. Saya papah ibu menuruni tangga."
Saya mendengar penuh minat.
'Tiba-tiba ibu berkata, ibu risau. kalau ibu meninggal nanti siapa yang akan doakan kamu!"
Saya tersentak. Benar-benar tersentuh. Jika sayalah di tempat ibu Tuan Azizul itu mungkin kata-kata saya berbeza. Mungkin saya akan berkata begini, "kalau ibu meninggal nanti, siapalah diantara anak-anak ibu yang nak doakan ibu. Jangan lupa doa ibu ya?" Tetapi sebaliknya bagi ibu Tuan Azizul di depan saya. dia bimbang kalau tidak dapat "memberi", manakala saya bimbang kalau tidak dapat "menerima".
"Apa kesan daripada kata-kata ibu Tuan Azizul ?"cungkil saya.
"Semenjak itu hingga kini, selepas lima tahun kematiannya, saya tidak pernah luput daripada mendoakan ibu setiap kali selepas solat lima waktu. Kata-kata itu amat berkesan dihati saya."
Matanya mula berair. Sebak. Jiwa saya terpukul. Ah, lalainya aku, kekadang lupa juga mendoakan ibu seusai solat lima waktu.
Kini setelah hampir sebulan perbualan itu berlalu, hati saya masih sukar memutuskan siapa yang lebih bertuah. Tuan Azizul yang mendapat ibu yang baik atau ibu Tuan Azizul yang mendapat anak yang baik? Tapi hakikatnya, siapa yang menyayangi akan disayangi. Siapa yang paling tinggi kasihnya, dialah yang paling banyak memberi. Ya, kita akan lebih banyak menerima jika kita memberi bukan untuk menerima!